Berita persidangan antarabangsa Pemuda dan Kebangkitan Islam;
Ayatullah Khamenei: Perubahan terbesar dalam sejarah kemanusiaan
Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Dalam suasana harmoni ratusan pemuda 73 buah negara dari seluruh dunia seperti Mesir, Tunisia, Libya, Lubnan, Yaman, Bahrain dan Palestin pagi tadi (Isnin) berkesempatan menemui pemimpin agung Revolusi Islam Iran Ayatullah Sayid Ali Khamenei.
Setelah mendengar ucapan daripada beberapa perwakilan negara Islam serantau, Sayid Ali memulakan pidatonya dengan menyatakan betapa pentingnya kebangkitan menentang diktator dunia yang rosak dan keji, iaitu Zionis serta mustakbirin. Beliau menegaskan, "Dalam ufuk kebangkitan yang diberkati ini, dengan kuasa Allah umat Islam sekali lagi berada di kemuncak kegemilangan, kemerdekaan dan kekuasaan."
Ayatullah Khamenei menyatakan bahawa para pemuda negara-negara Islam adalah pembawa berita gembira buat masa depan umat Islam. Beliau menambah, "Kebangkitan pemuda di seluruh dunia Islam menyebabkan bertambahnya harapan kepada kebangkitan umum bagi umat Islam."
Mengenai fenomena perubahan besar dalam sejarah manusia di zaman ini, pemimpin revolusi ini berkata, "Seluruh ideologi materialistik, umumnya seperti Marxisme, Demokrasi Liberal, Nasionalisme Sekular telah berlalu pergi, dan zaman baru telah bermula di mana petunjuknya ialah perhatian kepada tuhan, memohon bantuan daripada kudrat ilahi serta kebergantungan umat dengan wahyu.
"Kebangkitan bangsa-bangsa serantau menentang diktator yang berkaitan merupakan sebahagian daripada peperangan kemanusiaan dengan diktator zionis-zionis dunia. Di sebalik pertukaran sejarah ini, manusia melepaskan diri dari dominasi diktator berbahaya ini dan pertukaran ini berasaskan janji benar Allah. Mereka akan bernaung di bawah kebebasan dan pemerintahan yang mempunyai nilai maknawi dan ketuhanan.
"Sebelum ini juga, mereka tidak percaya jikalau seseorang itu berbicara tentang kemenangan pemuda Hizbullah yang beriman ke atas tentera regim zionis, atau ucapan tentang kehinaan taghut Mesir serta perubahan ajaib di Utara Afrika. Begitu juga sebahagian orang merasa terkejut dengan betapa konsistennya kemenangan dan kemajuan Republik Islam. Sesetengah pihak tidak dapat mempercayainya namun kuasa yang Maha Tinggi sendiri yang menunjukkan kemenangan dan perubahan ini.
"Dalam pancaran kebenaran janji-janji Allah, maka Zionisme, syaitan besar Amerika dan kuasa-kuasa barat hari ini merasa tidak berdaya dalam menghadapi kebangkitan Islam. Perasaan lemah ini akan bertambah setiap hari.
"Yang penting bagi kita ialah kemenangan yang dicapai tidak akan berhujung. Dengan meneruskan perjuangan dan menyokong keazaman serta kehendak umat, di samping berserah dan berbaik sangka dengan Allah Ta'ala, kita akan meneruskan memerangi pembuli dunia dan talibarut mereka."
Beliau menceritakan kemajuan ilmu Republik Islam yang berada di tahap membanggakan dalam bidang nuklear, bioteknologi, perubatan dan berbagai bidang lain. Katanya, "Pemuda tanah air yang beriman ini meskipun disabotaj, mereka telah mencapai kemajuan di tahap yang sukar dipercayai oleh pihak musuh. Dengan kemajuan yang mereka raih, dapatlah ia dijadikan pengajaran buat semua pemuda-pemuda daripada kalangan umat Islam.